Tuesday, 8 March 2016

Percutian ke Cameron Highland

Assalamualaikum.

Semoga apa yang Rayna nak kongsikan tentang percutian singkat ke Cameron Highland ni akan memberi manfaat buat pembaca.

Memandangkan suami perlu habiskan cuti kerjanya yang berbaki, maka Rayna dengan pantas dan tuntas terus buka laman Groupon, untuk cari hotel untuk bercuti. Sambil buka Groupon, kepala ligat berfikir agar percutian singkat ini dapat :


  • buat Noah & papa nya gembira (paling penting)
  • jimat kos & perbelanjaan ketika bercuti (membazir itu amalan syaitonn)
  • memberi pelajaran terbaik sebagai hamba-Nya (manfaat apa yg dapat diperoleh sepanjang bercuti)  
Pada mulanya Rayna merancang untuk bercuti ke Gold Cost Morib sahaja, lihat pantai yang terbentang luas. Tapi sekarang ni musim El Nino, suhu di KL mencecah 41 darjah celcius. Memang bukan masa yang sesuai nak duduk tepi pantai berjemur. Jadi, Rayna rasa Cameron Highland tempat yang sesuai untuk bercuti pada waktu ni. 

Rayna buat pembelian penginapan bilik hotel di Groupon untuk 2D1N , harga Groupon RM88 untuk Country Lodge Resort Hotel Cameron Highland (CLRCH). Harga asal untuk bilik Standard RM 98. (ingat, tak kisah berapa potongan harga, walaupun sikit yang penting dapat jimat). Tapi rezeki Rayna masa check-in sebab bilik Standard masih dalam renovation masa tu, jadi dapat menginap bilik Deluxe tanpa caj tambahan. Seronok nok nok...

Rayna buat tempahan untuk daftar masuk menginap di hotel pada 7-Mac-2016 (Isnin) dan check-out pada keesokannya 8-Mac-2016 (Selasa). Sengaja tidak memilih hujung minggu atau waktu cuti sekolah untuk mengelakkan kesesakan di Cameron Highland. (salah satu tips untuk percutian yang seronok, elakkan cuti hujung minggu atau masa cuti umum & cuti sekolah).

Kami bertolak dari KL melalui lebuhraya PLUS lebih kurang jam 8 pagi dan bersepakat untuk keluar ke Cameron melalui Simpang Pulai (Exit 137). Memang boleh keluar melalui Tapah untuk ke Cameron, tetapi memikirkan kami bawa anak kecil, dan nak elakkan jalan yang agak memabukkan jika melalui Tapah, maka jauh sikit ke Simpang Pulai. (jalan menghala ke Cameron lebih lebar dan selamat). 

Sekiranya anda keluar melalui Simpang Pulai, selepas tol belok ke kanan. Terus sahaja dalam 200 meter, jumpa lampu isyarat yang pertama di situ masuk kanan. Bermulalah perjalanan anda mendaki ke Cameron Highland. Dalam pendakian lebih kurang satu jam, akan jumpa papan tanda yang menghala ke Gua Musang - Ringlet - Kg Raja. Di lampu isyarat simpang tersebut, masuklah ke Kg Raja. Di situlah Cameron Highland. Setelah masuk simpang tersebut, dalam perjalanan lebih kurang 25km-30km akan jumpa pekan Brinchang. 
  
Setelah Rayna sampai di Brinchang, terus check in hotel yang ditempah. Hotel kami terletak betul-betul belakang Balai Bomba Brinchang. Hotel 3 bintang sahaja, tapi cantik, bersih dan sangat selesa. Tambahan pula, berdekatan dengan Masjid Kayangan Brinchang. Memang sengaja memilih hotel berdekatan masjid, agar waktu Suboh dapat mendengar sayup-sayup laungan Azan.

Lobi Country Lodge Resort Hotel 


Rayna tak galakkan anda datang ke Cameron Highland pada hari Isnin kerana banyak tempat yang menarik tutup pada hari Isnin. Sekiranya dalam perancangan percutian anda, banyak tempat menarik yang mahu dilawati di sini, maka pilihlah hari Selasa dan seterusnya. Tapi jika ingin ke Pasar Malam Brinchang, datanglah pada waktu sesak. Kerana Pasar Malam Brinchang hanya buka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada malam nya, dan juga waktu cuti umum & cuti sekolah. Sesak kan? Tapi tak jadi masalah bagi mereka yang memang sukakan keadaan sebegitu :)

Ada satu tempat yang Rayna sempat masuk. Nama tempat nya Avant Chocolate & Ice Cream. Sewaktu pendakian dari Kg Raja menghala ke Brinchang, anda akan nampak tempat ini sebelah kiri anda. Dalam premis ini, terdapat banyak coklat yang ada antaranya tidak dijual di pasaraya lain. Selain itu, bila masuk jauh ke dalam lagi premis ini, terdapat bahagian dekorasi flora yang sangat cantik. Ada juga bahagian kolam untuk kanak-kanak mengayuh bot kecil yang sangat comel (Rayna tak sempat ambil gambar bahagian ini memandangkan Noah pun masih belum pandai mengayuh). 
Bagi mereka yang gemar berselfie dan mengabadikan foto-foto yang mempunyai latar belakang yang cantik, di sini sangat sesuai. 

Pandangan dari luar Avant Chocolate & Ice Cream

Salah satu bahagian yang cantik dalam Avant

Rayna berlatarkan dekorasi flora dalam Avant


Cameron Highland terkenal dengan ladang teh nya yang besar dan cantik. Terdapat dua ladang teh yang terkenal di sini. Ladang Teh BOH Sungei Palas dan Ladang Teh Bharat. Rayna memilih Ladang Teh BOH Sungei Palas memandangkan Ladang Teh Bharat Rayna pernah lawati sewaktu zaman bujang dulu. (Boleh saja nak lawat kedua-dua ladang teh ini jika anda memang punya banyak masa di Cameron Highland).

Ladang Teh BOH Sungei Palas terletak di Brinchang. Perjalanan ke Ladang Teh ini agak sukar kerana perlu melalui jalan yang berliku dan sempit. Tapi jangan jadikan ia sebab untuk anda tidak lawati kerana rata-rata kenderaan yang melalui jalan ini sangat bertolak ansur sekiranya berselisih di jalan yang sempit. Anda sangat hargai bila sampai ke destinasi kerana pemandangan dari atas kafeteria yang berada di Ladang Teh BOH Sungei Palas ini sangat menakjubkan! Subhanallah...

Simpang untuk ke Ladang Teh Sungei Palas ini agak tersorok. Papan tanda juga seakan tidak kelihatan kerana kedudukannya di dalam simpang. Agak menyukarkan untuk anda mencari. Rayna bagi anda beberapa panduan untuk ke sini.
  • Dari Kea Farm menghala ke Nova Hotel
  • Pastikan Nova Hotel sebelah kanan anda
  • Nampak simpang kiri seakan menaik sedikit jalannya
  • Itulah dia jalan masuk ke Ladang Teh Sungei Palas
  • Ikut sahaja jalan berliku tersebut sampai ke Ladang Teh Sungei Palas
  • Pastikan anda punyai tahap kesabaran yang tinggi dan bertolak ansurlah dengan kenderaan lain
Inilah papan tanda yang tersorok tu. Betul-betul duduknya dalam simpang

Sampai sahaja di tempat parkir kereta yang disediakan, mendakilah sedikit untuk ke kafeteria. Rayna pergi pada waktu pagi jadi keadaan masih belum sesak di sini. Pastikan bawa duit lebih jika mahu makan dan minum di sini kerana harga makanan dan minuman agak mahal sedikit. Tidak jadi hal bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan yang indah dari sini. 


Rayna beli sarapan. Harga semua RM 37.10. Alhamdulillah. Sedap :)





Jangan lupa untuk mengabadikan foto kenangan sepanjang berada di persekitaran BOH Sg Palas


Sebelum berangkat pulang ke KL, Rayna sempat singgah di beberapa tempat untuk membeli buah tangan. Gambar selebihnya untuk simpanan peribadi.

Selamat bercuti!



4 comments:

  1. http://abnb.me/EVmg/Vfx4QYbGtz
    Holiday home

    ReplyDelete
  2. http://abnb.me/EVmg/Vfx4QYbGtz
    Holiday home

    ReplyDelete
  3. Wahh bestnya.. last pergi cameron tahun 2010 tak salah. Bulan depan insyaAllah nak pergi lagi. Tak sabar!

    ReplyDelete