Sunday, 29 October 2017

Cara Buat Kuih Peneram

Assalamualaikum...

Baru sempat Rayna nak share pasal kuih neram ni. Kuih ni banyak namanya.. Kalau orang utara panggil coq peneram. Ada yang panggil denderam, peniram, kuih telinga kelin, deram, macam2 lagi lah... Yang penting rasa dan rupa bentuknya tak jauh beza.

Kalau Rayna panggil kuih banyak songeh. haha.. Sebab nak buat kuih ni memang banyak songehnya. Nampak je macam senang. Cuba buat dulu baru tahu... Perlukan kesabaran yang tinggi dalam proses membuat kuih neram ni. Bagus la bagi mereka yang nak didik sifat sabar dalam diri tu... mula lah buat kuih ni ye :)

Rayna masa mula2 buat kuih ni hasilnya keras macam batu. Orang cakap baling dinding pun dinding yang retak. hahaha! Lepas tu Rayna kaji lagi kaji... kaji... kenapa kuih jadi keras. So Rayna pun adjust la beberapa kali dari segi teknik dan proses menyediakan kuih neram ni dari awal lagi.

Sebelum tu kita tengok dulu bahan2 dan cara membuat kuih peneram ni.


Bahan yang paling utama ialah TEPUNG BERAS dan GULA MERAH.

Ada juga resipi yang tambah tepung gandum, tambah gula pasir, tambah garam, tambah itu tambah ini.. Tak kisahlah ikut tekak masing2. Tapi original kuih ni hanya guna tepung beras dan gula merah sahaja. GULA MERAH tau, bukan gula melaka.

Tepung beras ada banyak jenama, ada cap gajah, ada cap teratai, cap bunga..
Ni pun ikutla korang nak guna mana satu. Rayna takdela nak tetapkan guna cap itu ini baru kuih menjadi dan sebagainya. Kalau tangan memang mahir buat kuih, guna cap ayam pun kuih naik cantik ye dokk?

Gula merah pulak boleh guna yang gula merah pasir atau gula merah batu. Mana2 pun boleh. Bila dah masak rupa bentuknya sama jugak. So far, Rayna dah guna macam2 jenama tepung dan gula merah. Alhamdulillah menjadi semuanya. Jadi bergantung pada tekak masing2 dan bergantung pada stok apa yang ada kat kedai korang beli bahan2 tu. hihi...


CARA BUAT KUIH PENERAM:

1. Masak gula merah dengan air sampai gula betul2 cair. Kacau, kacau dan kacau... Biarkan gula sedikit mendidih. Tapi jangan sesekali tinggalkan ia berseorangan atas api. Takut gula hangus. Proses masak gula ni jangan ambil mudah yer.. Selalu orang ingat senang je masak gula je pun. No no no... ada sebab kenapa kena biarkan gula sedikit mendidih dan tutup api dan bagi mendidih balik... tutup api.. mendidih lagi. Dalam 3 kali proses yang sama. Benda ni akan effect korang punya kuih neram masa last nanti. Sama ada kuih korang tu akan jadi keras macam batu atau gebu lembut montok.

2. Setelah gula merah dah dipastikan betul2 masak hancur, maka tuanglah sedikit demi sedikit ke dalam tepung beras yang dah disediakan dalam bekas. Tepung beras tu korang boleh ikut suka sama ada nak tambah tepung gandum sikit ke, nak tambah garam sikit ke.. Kalau Rayna, tak letak tepung gandum. Bagi yang suka kuih neram liat2 macam cekodok tu boleh lah nak tambah. Rayna memang suka originality kuih tradisi seperti rasa yang asal.


Oh ya, masa nak tuang air gula merah yang panas tu ke dalam tepung, pastikan tapis dulu. Kot la ade bendasing dalam gula termasuk sekali dalam tepung nanti tak jadi pulak doh nya.
Tuang sikit, kacau... tuang lagi sikit, kacau lagi... Jangan tunggu air gula merah tu sejuk baru nak tuang ke tepung. Nanti jadi liat kuih neram tu.

Ingat ye, setiap proses yang renyah dan rumit ni memang ada sebab musabab dia. Kalau ambil mudah je, memang akan beri kesan pada tekstur kuih pasa saat akhir nanti. Sebab tu, kena follow betul2 step dia, pantang larang dia..


haa...apa lagi, kacaulah... kacau kacau.. sampai jadi doh.


Pastikan tak ada sisa tepung yang putih tertinggal. Kacau sampai sebati betul2. uli lagi uli sampai doh semua jadi kaler coklat kayu gittuuuu...


Okay dah jadi doh. Ada yang buat cair sikit. Kalau nak doh lembik sikit, tambah sesudu dua AIR PANAS. Kemudian uli lagi sampai doh jadi lembik. Lepas tu doh WAJIB diperam 6-7jam. Kenapa wajib peram? Sebab nak bagi tepung beras dengan gula merah tu betul2 sebati. Baru sedap. Kalau tak perap, nanti makan kuih tu rasa tepung saje semata.

Masa perap doh tu, jangan tinggal macam tu je.. rajin2 lah uli. Haa....renyah kan? hihi... belajarlah bersabar ye :)
Masa uli tu kalau rasa doh jadi keras sikit, tambah AIR PANAS. ingat ye, jangan tuang gitu je air panas tu. Masukkan satu sudu lepas tu kacau... Masukkan lagi satu sudu kacau lagi... Agak2 sampai doh cantik lembut dah, stop.

LAGI LAMA PERAP DOH LAGI SEDAP KUIH PENERAM ITU...

Rayna pernah tanya sorang peniaga peneram ni, kuihnya sedap sangat. Dia cakap dia perap 3 hari baru jual. haa.... 3 hari perap dengar tu! sebab tu nak buat kuih ni perlukan kesabaran yang tinggi. Kalau kata nak cepat, takpe... Rayna ada jual doh peneram ni. Tapi kena order awal2 yer...sebab Rayna nak perap lagi. Kalau nak order doh peneram, boleh whatsap Rayna 0163495006. Buat masa ni Rayna jual 500gm (1/2kg) RM20.00 .


Okay, setelah doh diperap beberapa jam / beberapa hari, tibalah masa untuk menggoreng.. Kalau nak pakai acuan, pakailah.. taknak pakai acuan pun takpe. Nanti tengok video Rayna goreng peneram tanpa pakai acuan. Buat pakai tangan sajooo... senang kan. Kalau suami nak makan malam2 pun just cubit je doh tekap kat tangan, lepas tu goreng. Takde renyah nak cari acuan ke mana hala.. haha!


Apa lagi, gorenglah.. Minyak pastikan banyak supaya peneram tu tenggelam. Tak lama pun dia tenggelam, beberapa saat tu dia terus timbul. Tapi pastikan minyak betul2 panas dan dalam keadaan api kecil ye.. Kalau minyak tak panas betul, kuih akan jadi keras. Kalau minyak terlebih panas, kuih akan merekah. Gitulah caranya melayan kerenah kuih yang banyak songeh ni.. Goreng la sampai kuih jadi coklat gelap. Bukan sampai hangus.



Hasilnya akan jadi macam ni lah. Rangup di luar, gebu di dalam. Bila makan rasa cair di mulut. giitttuuuu... hahaha :)

Ada resipi yang campur tepung gandum kan? Rayna tak letak langsung ye tepung gandum. Sebab taknak ada efek liat2 kat kuih. Ikutlah terpulang pada tekak masing2. Tak ada resipi yang salah yang betul. Bergantung pada kesukaan korang nak macam mana. Kalau dah tak suka campur tepung gandum janganla pulak cakap resipi ni salah ke apa.. hihi. Yang penting kuih menjadi, dan paling paling penting ianya sedap ohsemmm!


Kuih peneram yang menjadi, bila di dalam nya bersarang macam ni. Bukan padat macam cekodok! hahaha :)


Jom tengok video Rayna buat doh peneram.






Selamat mencuba sayangsss. mmmmuahh!




Tuesday, 22 March 2016

Ber - Big Brother Bangi Gateway

Bercerita perihal makan :)

Bersama Noah dan papanya ke Big Brother Bangi Gateway. Terasa mahu makan real western dengan portion yang besar. Tapi percayalah, lapar macam mana sekalipun, takkan habis makan untuk satu hidangan main course. Mesti yang lebih-lebih akan tapau bawak balik.

Restoran Big Brother bertempat di dalam Pusat membeli-belah Bangi Gateway. Terletak di Ground Floor, lot paling tepi bersebelahan dengan laluan keluar kereta. 


Selamat datang!

Teruja dengan dekorasi dalaman yang cantik, terutama di bahagian bar kaunter. Sedap mata memandang. Tambah mood nak 'ber-western'. 


Bahagian dalam Restoran Big Brother, Bangi Gateway.




Ada juga bahagian outdoor untuk yang nak fresh-air



Taraa! Mama & Noah menanti hidangan.
Cantik kan background tu


Masa ni Rayna datang hari Ahad petang. Restoran hampir tutup. Sebab tu tak ramai orang. Kiranya Rayna pelanggan terakhir la. Sebab tu masa nak bayar, pekerja kat kaunter cakap dapat diskaun 10% untuk pelanggan yang terakhir. Memang langkah kanan sangaat!!


Menu yang ada di Big Brother semuanya sedap-sedap belaka (huhu...macam pernah try je semua). Tapi serious masa belek-belek buku menu, sampai setengah jam pilih menu. Sebab nak pilih yang paling best, paling unik, paling tak pernah rasa. Akhirnya, Rayna memilih 'Homemade Beef Burger' yang berharga RM 21.90 dan papa Noah memilih 'Big Brother Combo Set' yang berharga RM 41.90. 

Menu & harganya

Homemade Beef Burger

Menu yang Rayna pilih ni patty burger dia buat sendiri (dah nama pun homemade, tentulah buat sendiri). Sedap. Tebal. Sangat puas hati. Yang ter-paling seronok, salad sayur dia baaaaanyaaakk dan segar! 




Menu & Harga Combo Set

Big Brother Combo Set


Apa yang menarik tentang combo set ni, dalam satu pinggan ada Fish Fried, ada Chicken Chop, dan ada Lamb Chop. Semuanya duduk dalam satu pinggan! Silalah habiskan kalau berani. (papa Noah tak termampu nak habiskan semuanya, maka potato wedges ditolak ke tepi. Perut sudah penuh katanya. Burrp!

Sudah kenyang, marilah pulang.


Resit bayaran. Nampak tak 10% diskaun tu. Rezeki.


Selamat menjamu selera :) 




Wednesday, 16 March 2016

Photoshoot Koleksi Lysanna Couture

Assalamualaikum w.b.t

Ini tentang photoshoot untuk koleksi jubah Lysanna Couture. Salah satu minat Rayna ni. Dari bujang sampai dah ada si comel Noah. 

Janji dengan ladyboss Lysanna Couture waktu pagi sebab dah biasa sesi photoshoot selalu akan mengambil masa sampai satu hari. (termasuk nak make-up, photographer nak setting camera bagai, nak lighting cantik segala..)

Lokasi yang dipilih pada mulanya ialah berlatarkan Masjid Negara. Sesuai dengan koleksi konsep jubah Lysanna Couture. Tetapi akibat kami terlajak masa, jadinya ladyboss tukar lokasi di saat-saat akhir. Maka, ke Titiwangsa lah kami. 

Jumpa ladyboss terus pergi lokasi shooting. 
Nampak tak dia sangat busy woman!


Sampai di lokasi, terus make-up (dalam kereta je okay). Kalau yang dah biasa kerja rushing2 dan kelam kelibut, memang boleh masuk dengan ladyboss ni. Antaranya saya lah orang tu. Heh.

Untuk photoshoot outdoor, model/talent kena pakai inner penuh tudung, baju dan kain/seluar (kalau koleksi yang nak digayakan tu lebih dari sehelai). Sebab tak akan ada masa nak lari-lari cari toilet untuk tukar baju. Dan tak ada orang yang suka menunggu kita tukar baju segala. Terutamanya bila photographer tengok lighting original tengah cantik, masa tu jugak nak shoot. Jadi, tukar baju & tudung kat situ jugak (sebab tu kena pakai inner penuh). Memang panas. Dah pakai baju berlapis, kena bergaya tengah panas lagi. Tapi percayalah, minat akan mengatasi segalanya :)


Tukar baju dan bersiap di lokasi shooting

Untuk photoshoot kali ni, ladyboss memilih photographer wanita. Mungkin lebih selesa bila bekerjasama dengan jantina yang sama. Agak sukar untuk mendapatkan khidmat photographer wanita sekarang ni, lebih-lebih lagi dengan hasil yang awesome! 

Bermulalah sesi photoshoot. Mari kita!


Klik klik

(Gambar dari camera photographer untuk ladyboss sahaja)


Saya menggayakan niqab dari koleksi cik Hawa
Ladyboss masih busy mekap nampaknya

Panas terik. Nak balik dah time ni. 

Sebelum balik, singgah makan kat Kedai Siam Mak Engku. Ladyboss teringin nak makan Som Tam katanya..


Som Tam terpaling sedap!
Cukup pedas, manis, masam nya.

Okay, nanti-nanti lah ya Rayna kongsi pasal makanan sedap-sedap kat kedai Mak Engku ni. Tata Titi Tutu~



Tuesday, 8 March 2016

Percutian ke Cameron Highland

Assalamualaikum.

Semoga apa yang Rayna nak kongsikan tentang percutian singkat ke Cameron Highland ni akan memberi manfaat buat pembaca.

Memandangkan suami perlu habiskan cuti kerjanya yang berbaki, maka Rayna dengan pantas dan tuntas terus buka laman Groupon, untuk cari hotel untuk bercuti. Sambil buka Groupon, kepala ligat berfikir agar percutian singkat ini dapat :


  • buat Noah & papa nya gembira (paling penting)
  • jimat kos & perbelanjaan ketika bercuti (membazir itu amalan syaitonn)
  • memberi pelajaran terbaik sebagai hamba-Nya (manfaat apa yg dapat diperoleh sepanjang bercuti)  
Pada mulanya Rayna merancang untuk bercuti ke Gold Cost Morib sahaja, lihat pantai yang terbentang luas. Tapi sekarang ni musim El Nino, suhu di KL mencecah 41 darjah celcius. Memang bukan masa yang sesuai nak duduk tepi pantai berjemur. Jadi, Rayna rasa Cameron Highland tempat yang sesuai untuk bercuti pada waktu ni. 

Rayna buat pembelian penginapan bilik hotel di Groupon untuk 2D1N , harga Groupon RM88 untuk Country Lodge Resort Hotel Cameron Highland (CLRCH). Harga asal untuk bilik Standard RM 98. (ingat, tak kisah berapa potongan harga, walaupun sikit yang penting dapat jimat). Tapi rezeki Rayna masa check-in sebab bilik Standard masih dalam renovation masa tu, jadi dapat menginap bilik Deluxe tanpa caj tambahan. Seronok nok nok...

Rayna buat tempahan untuk daftar masuk menginap di hotel pada 7-Mac-2016 (Isnin) dan check-out pada keesokannya 8-Mac-2016 (Selasa). Sengaja tidak memilih hujung minggu atau waktu cuti sekolah untuk mengelakkan kesesakan di Cameron Highland. (salah satu tips untuk percutian yang seronok, elakkan cuti hujung minggu atau masa cuti umum & cuti sekolah).

Kami bertolak dari KL melalui lebuhraya PLUS lebih kurang jam 8 pagi dan bersepakat untuk keluar ke Cameron melalui Simpang Pulai (Exit 137). Memang boleh keluar melalui Tapah untuk ke Cameron, tetapi memikirkan kami bawa anak kecil, dan nak elakkan jalan yang agak memabukkan jika melalui Tapah, maka jauh sikit ke Simpang Pulai. (jalan menghala ke Cameron lebih lebar dan selamat). 

Sekiranya anda keluar melalui Simpang Pulai, selepas tol belok ke kanan. Terus sahaja dalam 200 meter, jumpa lampu isyarat yang pertama di situ masuk kanan. Bermulalah perjalanan anda mendaki ke Cameron Highland. Dalam pendakian lebih kurang satu jam, akan jumpa papan tanda yang menghala ke Gua Musang - Ringlet - Kg Raja. Di lampu isyarat simpang tersebut, masuklah ke Kg Raja. Di situlah Cameron Highland. Setelah masuk simpang tersebut, dalam perjalanan lebih kurang 25km-30km akan jumpa pekan Brinchang. 
  
Setelah Rayna sampai di Brinchang, terus check in hotel yang ditempah. Hotel kami terletak betul-betul belakang Balai Bomba Brinchang. Hotel 3 bintang sahaja, tapi cantik, bersih dan sangat selesa. Tambahan pula, berdekatan dengan Masjid Kayangan Brinchang. Memang sengaja memilih hotel berdekatan masjid, agar waktu Suboh dapat mendengar sayup-sayup laungan Azan.

Lobi Country Lodge Resort Hotel 


Rayna tak galakkan anda datang ke Cameron Highland pada hari Isnin kerana banyak tempat yang menarik tutup pada hari Isnin. Sekiranya dalam perancangan percutian anda, banyak tempat menarik yang mahu dilawati di sini, maka pilihlah hari Selasa dan seterusnya. Tapi jika ingin ke Pasar Malam Brinchang, datanglah pada waktu sesak. Kerana Pasar Malam Brinchang hanya buka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada malam nya, dan juga waktu cuti umum & cuti sekolah. Sesak kan? Tapi tak jadi masalah bagi mereka yang memang sukakan keadaan sebegitu :)

Ada satu tempat yang Rayna sempat masuk. Nama tempat nya Avant Chocolate & Ice Cream. Sewaktu pendakian dari Kg Raja menghala ke Brinchang, anda akan nampak tempat ini sebelah kiri anda. Dalam premis ini, terdapat banyak coklat yang ada antaranya tidak dijual di pasaraya lain. Selain itu, bila masuk jauh ke dalam lagi premis ini, terdapat bahagian dekorasi flora yang sangat cantik. Ada juga bahagian kolam untuk kanak-kanak mengayuh bot kecil yang sangat comel (Rayna tak sempat ambil gambar bahagian ini memandangkan Noah pun masih belum pandai mengayuh). 
Bagi mereka yang gemar berselfie dan mengabadikan foto-foto yang mempunyai latar belakang yang cantik, di sini sangat sesuai. 

Pandangan dari luar Avant Chocolate & Ice Cream

Salah satu bahagian yang cantik dalam Avant

Rayna berlatarkan dekorasi flora dalam Avant


Cameron Highland terkenal dengan ladang teh nya yang besar dan cantik. Terdapat dua ladang teh yang terkenal di sini. Ladang Teh BOH Sungei Palas dan Ladang Teh Bharat. Rayna memilih Ladang Teh BOH Sungei Palas memandangkan Ladang Teh Bharat Rayna pernah lawati sewaktu zaman bujang dulu. (Boleh saja nak lawat kedua-dua ladang teh ini jika anda memang punya banyak masa di Cameron Highland).

Ladang Teh BOH Sungei Palas terletak di Brinchang. Perjalanan ke Ladang Teh ini agak sukar kerana perlu melalui jalan yang berliku dan sempit. Tapi jangan jadikan ia sebab untuk anda tidak lawati kerana rata-rata kenderaan yang melalui jalan ini sangat bertolak ansur sekiranya berselisih di jalan yang sempit. Anda sangat hargai bila sampai ke destinasi kerana pemandangan dari atas kafeteria yang berada di Ladang Teh BOH Sungei Palas ini sangat menakjubkan! Subhanallah...

Simpang untuk ke Ladang Teh Sungei Palas ini agak tersorok. Papan tanda juga seakan tidak kelihatan kerana kedudukannya di dalam simpang. Agak menyukarkan untuk anda mencari. Rayna bagi anda beberapa panduan untuk ke sini.
  • Dari Kea Farm menghala ke Nova Hotel
  • Pastikan Nova Hotel sebelah kanan anda
  • Nampak simpang kiri seakan menaik sedikit jalannya
  • Itulah dia jalan masuk ke Ladang Teh Sungei Palas
  • Ikut sahaja jalan berliku tersebut sampai ke Ladang Teh Sungei Palas
  • Pastikan anda punyai tahap kesabaran yang tinggi dan bertolak ansurlah dengan kenderaan lain
Inilah papan tanda yang tersorok tu. Betul-betul duduknya dalam simpang

Sampai sahaja di tempat parkir kereta yang disediakan, mendakilah sedikit untuk ke kafeteria. Rayna pergi pada waktu pagi jadi keadaan masih belum sesak di sini. Pastikan bawa duit lebih jika mahu makan dan minum di sini kerana harga makanan dan minuman agak mahal sedikit. Tidak jadi hal bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan yang indah dari sini. 


Rayna beli sarapan. Harga semua RM 37.10. Alhamdulillah. Sedap :)





Jangan lupa untuk mengabadikan foto kenangan sepanjang berada di persekitaran BOH Sg Palas


Sebelum berangkat pulang ke KL, Rayna sempat singgah di beberapa tempat untuk membeli buah tangan. Gambar selebihnya untuk simpanan peribadi.

Selamat bercuti!